Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Amat kecewa sekali. Sesuatu yang hilang dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan. Akhirnya angan – angan ini tenggelam perlahan – lahan.
Sungguh, semua itu telah menghadirkan kekecewaan yang begitu menggelora didalam jiwa.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu, majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup ini ibarat belantara.Tempat kita mengejar berbagai keinginan. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak, mempunyai keinginan. Tetapi tidak setiap yang kita inginkan dapat dikecap, tidak setiap yang kita mahu boleh tercapai. Dan tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tidak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak mempunyai hukum: iaitu harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.
Banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa asal itu semua pemberian Allah hingga membuatkannya sombong dan bertindak sewenang-wenang.
Hakikat kegagalan adalah sesuatu yang memang bukan hak kita, yang telah ditetapkan oleh Nya.
Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, seperti itu rezeki, jawatan dan kedudukan pasti akan Allah sampaikan.Tetapi apa yang memang bukan milik kita, maka tidak akan dapat kita miliki, meski ia nyaris menghampiri kita, meskipun kita bermati-matian mengusahakannya.
“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikaNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (QS Al-Hadid ; 22-23)
Demikian juga bagi yang sedang gundah – gulana mengenai jodoh. Kadangkala kita tidak sedar dengan menyalahkan Allah tentang jodoh kita,bukanya meminta yang terbaik dalam istikharah kita. Seakan kita yang menentukan segalanya..
Wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini dari Allah :
“…. Boleh jadi kalian membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian.Allah Maha mengetahui kalian tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah 216)
Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa jiwa berpanjangan terhadap apa-apa yang luput dan telah hilang darimu. Apa-apa yang kita rasa perlu didunia ini, haruslah boleh memberi harapan kepada kita akan bahagia di akhirat. Kerana seorang mukmin tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup di akhirat kelak!
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!
0 comments:
Post a Comment