Apa yang telah kita lakukan dengan dosa kita?
Dosa ada kaitan dengan keimanan. Ini satu perkara, yang manusia kadangkala terlepas pandang. Itulah yang menjadikan dosa, lebih besar dari najis atau kekotoran lain. Sebenarnya, apabila kita melakukan dosa, maka keimanan kita terganggu. Itu sudah cukup menjadi sesuatu yang besar, kepada mereka yang hendakkan redha Allah SWT dalam kehidupannya.
Ada dua hadith RasulullahSAW yang mengaitkan hal keimanan, dengan dosa insan.
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika dia mencuri itu, dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, jika ketika dia meminum arak itu, dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika dia berzina itu, dia beriman” Al-Hadith.
Dari hadith ini, kita dapat melihat betapa apabila kita melakukan dosa, maka sebenarnya ketika kita melakukan dosa itu, hubungan kita dengan Allah terganggu. Kenapa apabila kita mencuri, kita tidak beriman? Kerana apabila kita mencuri, kita secara tidak langsung telah menafikan kewujudan Allah SWT yang sentiasa melihat kita.
“Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hati. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman” Al-Hadith.
Dari hadith ini pula, kita dapat mengukur meter keimanan kita. Selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran dengan hati. Tetapi adakah lagi iman kalau kita merasakan dosa itu sesuatu yang ringan, yang boleh dilengah-lengahkan pembersihannya, yang tak mengapa kalau kita lakukannya?
Kalau najis kita segera mencucinya, bagaimana dengan dosa kita?
Kehilangan sensitiviti sebegini, membuatkan kita lambat untuk kembali kepada Allah SWT. Semua orang tahu yang dia tak tahu dia mati bila. Mati boleh datang bila-bila. Tetapi kenapa manusia tak bersegera bertaubat kepada Allah SWT?
Kerana dia tidak rasa sensitif dengan dosanya. Kerana dia merasakan, dosanya adalah perkara kecil. Kerana dia merasakan, tidak mengapa untuk berdosa.
Manusia memang melakukan dosa. Kita tidak akan terlepas dari kesilapan. Tetapi adalah menjadi tuntutan, untuk kita bersegera memperbaiki kesilapan kita, mencuci dosa kita. Hal ini kerana, Allah SWT mencintai orang yang sering bertaubat dan menyucikan dirinya.
“Sesungguhnya Allah itu, mencintai orang yang sering bertaubat, dan menyucikan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Adakah anda merasakan dosa anda lebih jijik dari najis? Atau anda merasakan dosa anda ibarat lalat yang hinggap di hidung? Dikuis terbang hilang?
Mari sama-sama kita muhasabah, menggerakkan diri untuk menjadi yang terbaik di sisi-Nya.
0 comments:
Post a Comment