Harapan Adalah Nafas Kehidupan

59a8627aefc335a537f65bcf4f1ff5ab-d3a9za0

Kadangkala kita sering tersalah faham dalam membezakan antara putus asa dan pasrah. Ini kerana implementasinya hampir sama yang bermaksud berhenti atau menyerahkan apa saja yang bakal terjadi pada suratan takdir. Disini terdapat perbezaan situasi antara pasrah dan putus asa.

Contohnya, doktor ingin melakukan pembedahan kepada seorang  mengidap kanser yang kritikal, namun ahli keluarganya menolak. Mereka menolak bukan kerana kesempitan wang , tetapi mereka sudah pasrah pada ketentuan Ilahi. Akhirnya pesakit  itu meninggal.

Pada situasi lain pula, seorang doktor berunding dengan seorang pemuda yang ayahnya diserang strok, meskipun keadaan ayahnya sudah kritikal, namun si anak tetap berusaha mengubati ayahnya walau berapa sahaja kosnya, sembuh atau tidak dia pasrah pada Ilahi. Seperti yang pertama, Pesakit ini juga meninggal.

Dari dua situasi diatas,  soal kesembuhan keluarga ini sudah pasrah kepada Allah SWT, dan akhirnya mereka kehilangan orang tersayang  untuk selamanya.

Tetapi ada perbezaan diantara dua situasi diatas. Bezanya terletak pada usaha yang maksimum. Ikhtiar yang bersungguh – sungguh sebagai memenuhi sunah kauniyah yang digariskan olehNYA. Oleh itu usahalah yang akan menjadi penentu, mana yang layak disebut pasrah  dan yang mana yang disebut putus asa.

Sebelum ikhtiar yang maksimum, semestinya kita menutup serapat – rapatnya kata pasrah.

Mari kita renungkan firmanNYA:”Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya (Surah Al-Kahfi,ayat 110)

Barang siapa yang ingin tercapai hasrat yang mulia, maka beramallah, bergeraklah dan melangkahlah. Kesalahfahaman dalam membezakan dan menentukan kedua – duanya akan membuat seseorang itu menyerah kemudian menamakannya sebagai pasrah. Sebenarnya dia masih mampu berlari tetapi memilih berhenti, masih mampu berenang ke tepi tetapi berdiam diri akhirnya tenggelam.

Padahal hidup adalah perjuangan, kerana senario hidup adalah ujian bagi manusia.

Sebagaimana firmanNYA :”Dia lah yang telah mentakdirkan mati dan hidup(kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu;siapakah diantara kamu yang terbaik amalannya,dan ia maha kuasa(membalas amal kamu),lagi maha pengampun (Surah Al-Mulk ayat 2).

Nafas Kehidupan..

Putus asa. Mengapa dinamakan putus? Mungkin kerana asa pengharapan, tujuan dan cita-cita diibaratkan sebagai rantai penggerak dalam jiwa. Ia harus kukuh, kuat dan semakin kuat. Harapan dan cita-cita adalah nafas kehidupan.

Bukankah sesudah mendaki kita akan menurun? Bukankah dengan airmata juga tercapai sukacita?

Cita-citalah yang membangkitkan semangat orang yang mendaki, kerana disebalik pendakian akan ada penurunan, menjadikan perjalanan lebih mudah. Kalau tidak kerana cita-cita hilanglah nafsu bekerja, berhenti gerak dunia, padam pelita orang-orang bijak bistari.

Cita – cita adalah pokok pangkal kemajuan, kerana makhluk yang bernama manusia sahaja yang layak mendapat kemajuan, makhluk lain tidak.

Cita-citalah yang menghilangkan rasa sakit, melupakan kepedihan dan kesulitan. Sebab cita – cita itu sendiri adalah ‘dynamo’ hidup. Jangan diabaikan cita-cita yang tumbuh, pupuklah ia.  Para petani yang tekun disawah, dibawah cahaya matahari sehingga hitam kulitnya, semua adalah lantaran cita-cita. Cita-citalah tiang kemajuan, tonggak gerak bumi dan menimbulkan nafsu bergerak.

Kita bergerak kerana ‘percikan-percikan’ api pengharapan yang membakar niat dan tekad. Semakin besar kecintaan kita pada harapan dan cita-cita semakin besar pula percikan api dan tenaga yang dihasilkan. Bertambah kuat pula keberanian,tekad dan semangat menghadapi segala risiko dan tentangan. Semakin gigih pula otak kita bekerja mencari cara, berinovasi dan mengatur strategi agar berjaya mendapatkannya.

Dapatlah kita gantungkan azam atau himmah yang tinggi. Himmah yang tinggi berbeza dengan angan-angan yang tinggi, kerana angan-angan yang tinggi hanya menyebabkan seseorang pemuda  mengelamun, dia tidur di siang hari pada waktu orang lain bekerja keras, dan berangan – angan hendak membeli kereta mewah dan sebagainya. Akhirnya kerana terlampau berangan – angan tinggi tanpa kerja keras akhirnya pemuda itu jatuh.

Cita-cita membawa kebesaran dan kemuliaan sedangkan angan-angan merosak dan membawa kepada  kejurang kehinaan.

Oleh itu tetaplah berharap, kerana seorang muslim tidak akan pernah berhenti mengharap. Dalam setiap amal ibadahnya, dia selalu mengharapkan kasih sayang dan rahmat Tuhannya. Dalam setiap gerak kehidupannya, dia selalu menanamkan tujuan dan cita-cita untuk kebaikannya dan kehidupan. Dan jika harapan pernah terputus, maka sambunglah kembali.

Kadangkala, lantaran putus asa yang mendalam, sesetengah orang jemu dengan kehidupan, bak pepatah “hidup segan mati tak mahu”. Seorang mukmin tidak akan mudah berputus asa, walaupun pintu disekelilingnya seakan – akan tertutup.

Rasulullah SAW bersabda:

”Janganlah salah seorang  dari kamu meminta mati kerana kesulitan hidup yang menimpanya.Jika perlu ucapkanlah doa seperti berikut ‘Ya Allah panjangkanlah umurku sekiranya hidup ini lebih baik bagiku,dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah membangunkan harapan dengan tauladan seperti Sayyidah Hajar yang tetap berlari mencari air, meskipun dalam pandangan hanya ada fatamorgana dan padang pasir sahaja. Dan seperti Nabi SAW, yang tidak membiarkan malaikat menjatuhkan gunung, walaupun penduduk Thaif menolak dakwahnya dengan kasar, malah baginda tetap menaruh harapan pada anak dan cucu mereka.

Dengan memperbaiki amalan dan usaha serta diiringi doa, bererti kita telah mencuba kearah kebaikan agar tercapai harapan dan cita-cita. Harapan umpama aliran darah yang terus mengalir sepanjang Hayat kita. Janganlah kita berputus asa dari Rahmat Allah SWT…

Subhannallah Walhamdilillah waLailahailallah Allahuakbar.

== > Jangan Terlalu Memilih, Terimalah Dia Seadanya. Baca Disini

1 comments:

hanif said...

ambik la kalau nak...hehehehe

Artikel Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...