SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand): Hari pertama Ramadan di Selatan Thailand dicemari dengan letupan bom kereta berdekatan Hotel Inter di pekan Sungai Golok mengakibatkan lapan cedera kira-kira jam 6.15 pagi waktu tempatan (7.15 pagi waktu Malaysia), semalam.
Empat mangsa terdiri daripada satu keluarga dan semua terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Golok sejurus kejadian.
Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Difahamkan, bom seberat 50 kilogram buatan sendiri yang dipasang pada sebuah kenderaan meletup selepas diaktifkan menggunakan alat kawalan jauh dipercayai didalangi kumpulan pemisah.
Semua mangsa berusia antara 31 hingga 74 tahun termasuk tiga wanita cedera di badan dan masih dirawat di hospital Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Maitry Chimched berkata, letupan bom itu berlaku berhampiran Hotel Inter di Jalan Charoekeat, di tengah pekan Sungai Golok.
Katanya, kejadian itu turut memusnahkan bangunan kedai komputer dan beberapa bangunan lain berdekatan.
“Bom itu dipercayai diletakkan kumpulan pemisah dalam sebuah lori pikap dan diaktifkan menggunakan alat kawalan jauh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Maitry berkata, empat ahli keluarga yang juga pemilik kedai komputer berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas bumbung.
“Semua mangsa yang berada di bumbung kedai berjaya dibawa turun dengan bantuan bomba “Turut musnah, empat kereta dan beberapa motosikal yang diletak berhampiran,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan militan dipercayai meletakkan trak itu beberapa minit sebelum sebuah kenderaan peronda polis melalui jalan berkenaan.
“Mereka dipercayai mensasarkan kenderaan polis tetapi tidak berhasil. Kami sedang mengenal pasti suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
0 comments:
Post a Comment